BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 30, 2009

Undang-undang Islam digunakan Pemerintah dahulu

Sebelum kedatangan penjajah, negara ini yang dipanggil Tanah Melayu telah melaksanakan Undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Mereka mengadili kes di hadapan Sultan, pemerintah kawasan dan sebagainya berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan termasuklah hal-ehwal kekeluargaan, muamalat dan juga jenayah. Catatan bertulis berkenaan hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dijalankan di Tanah Melayu.

Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka telah mengetahui dan menyedari bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan di sini. Jika kita merujuk kepada kes-kes yang berlaku dan diputuskan di Mahkamah, Hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan. Contohnya dalam satu kes iaitu kes Rahmah v. Laton yang diputuskan pada tahun 1927. Kes ini melibatkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian yang ditinggalkan oleh suaminya selepas suami meninggal. Dalam penghakimannya, mahkamah telah memutuskan bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia merupakan undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Sesuatu yang menyedihkan berlaku,setelah sekian lama Inggeris pergi tetapi undang-undang Islam masih tidak mampu dilaksanakan walaupun pemerintah sekarang beragama Islam adalah majoriti.

2 comments:

nik said...

benar kata2 itu

Anonymous said...

dapat disimpulkan pemerintah dahulu lebih bijak walaupun tidak berijazah...